SISTEM PENGURUSAN RUJUKAN ENDNOTE X7

Bukit Jalil – 15 Januari 2015 (Khamis) – Cawangan Pengurusan Penyelidikan, Bahagian Penyelidikan, Pendidikan dan Inovasi Sukan  telah mengadakan bengkel Sistem Pengurusan Rujukan Endnote X7 bertempat di makmal komputer Majlis Sukan Negara (MSN). Bengkel yang disertai oleh 20 orang pegawai Institut Sukan Negara (ISN) ini dikendalikan oleh En. Davood Mehrabi dari ColumbiaSoft Sdn. Bhd. 

Keutamaan kursus ini diberi kepada pegawai yang pernah menyumbangkan artikel untuk penerbitan ISN dan yang sedang melakukan penyelidikan di ISN. Penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan penggunaan perisian ini dalam penulisan penyelidikan. Para pegawai akan menerima perisian EndNote X7 yang akan dipasang secara berperingkat di komputer meja atau komputer riba pejabat mereka.

5En. Davood Mehrabi menerangkan kepada En. Thung Jin Seng berkenaan dengan perisian Endnote X7

Untuk pengetahuan, Endnote merupakan satu perisian pangkalan data rujukan yang semakin mendapat perhatian masa kini. Ianya merupakan satu perisian bibliografi yang membolehkan pengurusan dan penyimpanan data rujukan dalam pangkalan data yang dibangunkan sendiri dinamakan endnote library. Perisian ini membenarkan penyimpanan citasi dan rujukan mengikut gaya petikan yang dikehendaki dan dapat mengelakkan penaipan berulang dalam proses penulisan penyelidikan.

6Para pegawai diberi penerangan mengenai perisian Endnote X7

Penganjuran ini adalah seiring dengan matlamat untuk memperkasa dan menyelaras aspek pendidikan, penyelidikan sains dan perubatan sukan negara secara komprehensif demi menggalakkan budaya penyelidikan di ISN. Bengkel ini pasti akan memberi dorongan dan meningkatkan kualiti penulisan ilmiah dalam kalangan pegawai ISN.

Disediakan oleh,

Dzul Syazwan Bin Mat Sah

Cawangan Pengurusan Penyelidikan