MOM BUAT KEPUTUSAN HARI INI

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) tidak mahu mempengaruhi keputusan Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terhadap rayuan untuk beraksi di bawah tiket kategori A ke temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan.

Sebaliknya, MHC hanya mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap jawapan yang bakal diputuskan Jawatankuasa Pemilihan MOM itu hari ini.

“Terpulang kepada MOM (rayuan beraksi atas kategori A ke Sukan Asia), kami perlu tunggu dan lihat sahaja,” jelas Setiausaha Kehormat MHC, Datuk Mohd. Johari Abdul Aziz kepada Kosmo! semalam.

Pada Rabu lalu, MOM membuat keputusan mengejut apabila pertama kali meletakkan skuad hoki negara dalam kategori B ke Sukan Asia 2014, sekali gus menyebabkan MHC terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri ke Incheon sebelum dibayar semula sekiranya melepasi sasaran yang ditetapkan.

Justeru, MHC telah membuat rayuan kepada pihak MOM agar mempertimbangkan semula status tersebut berdasarkan pencapaian serta kedudukan dalam ranking dunia skuad hoki negara.

Selain itu, badan induk sukan hoki itu juga turut mengemukakan jawapan kepada MOM atas alasan prestasi tidak menentu yang dipamerkan pada kempen Piala Dunia di The Hague, Belanda, Mei lalu dan temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

Kelmarin, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi seakan-akan memberi jaminan bahawa skuad hoki negara berkemungkinan kembali memegang status pasukan yang akan beraksi atas tiket kategori A pada Sukan Asia nanti.

Mengulas lanjut, Johari berpendapat MHC tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dikemukakan kepada pihak MOM apabila surat rayuan telah dihantar pada minggu lalu.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai perkara ini (rayuan untuk kategori A). Kami sudah tulis dan hantar surat rayuan kepada MOM.

“Saya tidak mahu ulas banyak mengenai perkara itu. Biar MOM tentukan kategori buat skuad hoki (lelaki dan wanita) ke Sukan Asia.

“Seperti saya katakan tadi, kita tunggu sahaja keputusan mereka esok (hari ini),” katanya.

SUMBER :  (KOSMO)