MALAYSIA MAMPU REALISASI KONSEP 'WINNING MENTALITY'- DR. IAN MITCHELL

Nur ZatilBerita

MAIN 1

19 April 2017, Bukit Jalil: Pakar psikologi sukan pasukan bola sepak kebangsaan Wales, Dr. Ian Mitchell yakin hasrat Malaysia menerapkan konsep ‘Winning Mentality’ di dalam sukan tempatan akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Menurut Dr. Mitchell, ia susulan sambutan menggalakkan dan respon positif yang diterima sepanjang tiga hari mengendalikan program di Institut Sukan Negara sejak Isnin lalu.

“Anda mempunyai ramai pakar-pakar dalam bidang sains sukan khususnya dalam bidang psikologi. Paling penting bakat-bakat sukan sedia ada amat berkualiti tinggi. Bagaimanapun untuk mengekalkan konsep ‘Winning Mentality’ ini agak mencabar. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru dimana ia memerlukan usaha berterusan dari semua pihak untuk membentuk keyakinan atlet dan individu yang terlibat,” tambah Dr. Mitchell.

Dr. Mitchell adalah individu yang bertanggungjawab merangka pelan pengurusan berkaitan aspek psikologi bagi pasukan bola sepak kebangsaan Wales. Antara nama besar yang bekerjasama dengannya ketika ini adalah bintang Real Madrid, Gareth Bale khususnya melibatkan perlawanan antarabangsa bersama skuad Wales.

“’Winning Mentality’ perlu diamalkan secara holistik dimana ia termasuk penglibatan pemimpin sukan sehingga peringkat akar umbi. Malaysia amat bertuah kerana mempunyai Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang amat peka tentang kepentingan ‘Winning Mentality’. Paling penting perancangan sains dan perubatan sukan dalam aspek fizikal dan mental perlu mempunyai perancangan ampuh bagi merealisasikan impian pingat emas pertama di Sukan Olimpik,” katanya.

Sepanjang tiga hari berada di Malaysia, program kendalian Dr. Mitchell dihadiri pelbagai individu antaranya atlet-atlet dibawah Program Podium, atlet Kita Juara, atlet pelapis, pelajar-pelajar dari institut pengajian awam, jurulatih tempatan dan kelab serta beberapa bekas pemain negara.

Bagi bekas legenda bola sepak negara, Reduan Abdullah sudah tiba masanya pendekatan lama dan baharu digabungkan untuk menghasilkan produk terbaik bagi masa depan.

“Wales adalah satu pasukan bola sepak kebangsaan yang telah membuktikan kemampuan bangkit daripada kedudukan ranking tercorot hingga menjadi antara pasukan 10 terbaik dunia. Dengan perkongsian ilmu dengan pakar-pakar dari negara luar ini adalah satu usaha yang amat baik bagi meningkatkan mutu sukan negara,” kata Reduan.

Program kendalian ISN ini turut memberi peluang penglibatan orang ramai. Antara yang tidak melepaskan peluang menghadiri perbincangan ini adalah Daphne Ng, bekas pemain pelapis badminton negara yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi sukan.

“Kekuatan mental amat ditekankan dalam perbincangan ini dimana situasi yang sering dialami adalah cara bagaimana seseorang atlet itu bertindak balas dengan situasi tertekan dalam sesebuah kejohanan. Bagi saya aspek psikologi perlu diberi penekanan lebih untuk memastikan atlet mampu mengendalikan situasi tekanan dengan baik ketika kejohanan,” katanya.