Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Mohd. Khairi Zawi berkata, Azizulhasni telah membuktikan konsep ‘anthropometrical superiority’ (saiz dan bentuk fizikal sentiasa beri kelebihan dalam sukan) telah ditolak sejak awal 1990-an menerusi kajian dalam bidang berkaitan.

Tambah Dr. Khairi, pemikiran sains sukan zaman ini tidak lagi meletakkan kelebihan antropometri sebagai faktor utama yang menjamin kejayaan.

“Kini, faktor seperti motivasi, kemampuan berdaya saing dan kesungguhan untuk mencapai kejayaan adalah perkara yang lebih utama.

“Dalam aspek fisiologi, adakalanya atlet bersaiz kecil mungkin memiliki komposisi otot sentak cepat (white muscle fibres) yang lebih padat berbanding mereka yang berbadan lebih besar. Faktor ini juga boleh menjamin potensi kejayaan dalam sukan-sukan bersifat explosif dan anaerobik seperti berbasikal trek.

“Dalam aspek biomekanik pula, kita boleh memaksimumkan aspek ergonomik yang berkaitan contohnya dalam sukan berbasikal dengan mendapatkan reka bentuk basikal yang secocok dengan dinamik pelumba tersebut sehingga seolah-olah basikal dan pelumba umpama satu entiti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam  perlumbaan akhir keirin lelaki hari ini menyaksikan pingat emas menjadi milik Jason Kenny dari Britain, manakala atlet Belanda, Matthjis Buchli meraih perak.

Malah, dalam kalangan pelumba yang beraksi pada perlumbaan akhir semua mempunyai susuk fizikal yang besar dan berat, sedangkan Azizulhasni sekadar berketinggian  1.66 meter dengan berat 69kg.

Sementara itu, pakar Perun­ding Kanan Perubatan Sukan ISN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz berkeyakinan kejayaan dilakar Azizulhasni adalah satu permulaan terbaik untuk atlet tersebut mencipta lebih banyak kejayaan.
 Dr. Ramlan juga optimis Azizulhasni mampu meneruskan aksi dalam dua lagi Sukan Olimpik iaitu 2020 dan 2024.
 “Salah satu sikap yang dimiliki Azizulhasni ialah dia seorang yang sentiasa berfikiran positif dan mempunyai semangat waja selain tidak mudah mengaku kalah.
 “Dia juga seorang yang gigih, malah kegagalan yang telah dilaluinya telah menjadi pengajaran berguna buat atlet tersebut untuk berjaya dan selagi dia mempunyai kemampuan selagi itu dia mampu mewakili negara.

“Jaguh berbasikal trek Britain, Chris Hoy bersara pada usia 36 tahun dan Azizulhasni ketika ini baharu 28 tahun.

“Masih banyak kejayaan yang mampu dilakar, paling penting jangan mudah berpuas hati,” kata Dr. Ramlan.