Jangan Tunggu Haus Baru Minum

  • Minum air ikut perancangan untuk elak dehidrasi

Dehidrasi secara mudahnya ditafsirkan sebagai kehilangan air atau cecair tubuh disebabkan aktiviti fizikal, namun tidak boleh dipandang ringan kerana ketiadaan dua peratus air daripada berat badan sudah memadai untuk menjejaskan fungsi fisiologi seseorang atlet.

Malah, dua kajian dilakukan Makmal Prestasi Manusia Universiti Connecticut pada 2012 membuktikan tahap dehidrasi ringan (mild) sudah cukup untuk mengubah mood seseorang, tahap tenaga serta kemampuan untuk berfikir dengan jelas.

Ujian terbabit membuktikan tidak kira sama ada seseorang itu berjalan selama 40 minit menggunakan treadmill atau duduk dalam keadaan rehat, akibat dehidrasi masih tetap sama.

Dehidrasi ringan ditafsirkan sebagai kehilangan lebih kurang 1.5 peratus daripada isipadu air di dalam tubuh.

Pemangku Ketua Pusat Sains Sukan Institut Sukan Negara Mohd Qushairy Ajmain Mohd Amin berkata, keadaan dehidrasi boleh menjadi agresif sekiranya atlet berlatih dalam keadaan cuaca panas dan lembap, tetapi boleh diatasi menerusi adaptasi (heat acclimatization).

“Apabila berlaku dehidrasi ia boleh mengganggu fungsi badan terutama dalam proses thermo regulation (pengaturan haba) di mana ia membantu tubuh dalam mengeluarkan haba yang terhasil menerusi aktiviti fizikal,” katanya.

“Sekiranya darah diedarkan dengan baik, haba akan dapat dikeluarkan dari badan menerusi kulit apabila darah akan membawa haba ke kulit dan seterusnya dibebaskan ke udara.”

Selain itu, menurut Qushairy, ia juga boleh menjejaskan fungsi kardiovaskular apabila pengepaman darah beroksigen tidak dapat dilakukan dengan sempurna.

Jelasnya, apabila berlaku dehidrasi, darah akan menjadi pekat dan susah untuk mengalir. Apabila berlaku kesukaran darah untuk diedarkan, penggunaan oksigen dan penghasilan tenaga akan terganggu.

“Apabila darah yang diedarkan ke seluruh tubuh berkurang, oksigen dan glukosa tidak dapat dihantar ke seluruh tubuh dengan berkesan, terutama ke kawasan otot yang dianggap kilang tenaga untuk tubuh. Ini kerana otot memerlukan glukosa dan oksigen.”

Menurut beliau ada kajian menyatakan kehilangan berat badan yang progresif disebabkan dehidrasi akan menjejaskan kadar denyutan jantung, core temperature (suhu tubuh) dan ‘rating of perceived exertion’ yang menentukan usaha atlet melakukan aktiviti fizikal dengan intensiti tertentu.

“Suhu tubuh perlu kekal pada 36 hingga 37 darjah Celcius, jika suhu tubuh meningkat, fungsi tubuh akan terganggu,” katanya.

Qushairy berkata, kajian turut membuktikan apabila berlaku dehidrasi kadar penggunaan glikogen (glikogen deplection rate) akan meningkat kerana atlet menggunakan bahan glikogen untuk menghasilkan tenaga, tetapi apabila berlaku dengan pantas, ia kan menyebabkan seseorang itu cepat letih.

“Selain itu, ia boleh mengganggu sistem saraf pusat, motivasi untuk melakukan aktiviti harian cepat berkurang, malah turut menjejaskan usaha (perception of effort) seseorang atlet.

“Dalam keadaan dehidrasi, seseorang atlet akan melakukan sesuatu aktiviti dengan persepsi yang lebih sukar berbanding dalam keadaan hidrat di mana usahanya akan bertambah biarpun dengan intensiti latihan sama.”

Apa pula tanda yang menunjukkan seseorang itu mengalami dehidrasi? Menurut Qushairy, tanda utama dehidrasi paling mudah boleh dikesan seseorang individu apabila dia berasa dahaga.

“Justeru, kita nasihatkan atlet untuk cuba elak daripada berasa dahaga. Minum ikut perancangan, bukan ikut rasa haus saja.

“Selain itu simptom dehidrasi boleh dikesan apabila berlaku keletihan melampau, loya dan paling teruk berlaku kekejangan, hipertermia atau strok haba dan ini yang ingin kita cuba elakkan.”

Sumber : Harian Metro