ISN-BIOTROPICS METERAI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN PRODUK KESIHATAN

Institut Sukan Negara (ISN) telah memeterai perjanjian kerjasama, Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Biotropics Malaysia Berhad pada hari ini 21 November 2016 (Isnin), 11.00 pagi di Bilik Jasmine, Institut Sukan Negara, Bukit Jalil.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, YBhg. Dr. Mohd Khairi bin Zawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Biotropics Malaysia Berhad YM Tengku Shahrir bin Tengku Adnan dengan disaksikan oleh Pengerusi Institut, Institut Sukan Negara, YBhg. Dato’ Sri Mohamad Norza bin Zakaria dan Pengurus Sains dan Pembangunan Produk Biotropics, Puan Sasikala a/p M.Chinnappan.

 Turut hadir ke majlis tersebut adalah YBhg. Prof. Dr. Shamala a/p Subramaniam, Ahli Institut, Institut Sukan Negara, En. Ainul Azlan bin Ainul Adnan, Ketua Pegawai Pemasaran Biotropic Malaysia Berhad serta pengurusan tertinggi ISN dan Biotropics.

 Memorandum Persefahaman yang dijalinkan di antara ISN dan Biotropics ini merupakan kerjasama yang julung kalinya diadakan khusus di dalam bidang penyelidikan berkaitan produk kesihatan dan prestasi sukan.

 Antara lain, skop dan kerjasama Memorandum Persefahaman ini adalah:

  1. ISN dan Biotropics bersetuju untuk bekerjasama bagi menjalankan kajian klinikal ke atas ahli sukan negara yang dipilih oleh Pihak ISN, dalam mengkaji keberkesanan produk bantuan ergogen yang dibekalkan oleh Pihak Biotropics.
  2. Pihak ISN bersetuju merangka protokol kajian dengan bantuan pihak Biotropics.
  3. Pihak ISN bersetuju melantik seorang pegawai khas untuk melaksanakan tugas-tugas mengikut keperluan kajian.
  4. Pihak Biotropics bersetuju membekalkan produk bantuan ergogen bagi kajian ini.
  5. Pihak Biotropics bersetuju membekalkan data, hasil kajian dan protokol kajian yang berkaitan yang telah dijalankan atau telah digunakan oleh Pihak Biotropics sebelum ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr Mohd Khairi Zawi, kerjasama ini adalah mengaplikasikan inovasi terkini bagi menghasilkan produk kesihatan yang berkualiti tinggi dengan menjalankan kajian klinikal ke atas atlet yang dipilih oleh pihak ISN dalam mengkaji keberkesanan produk bantuan ergogen yang akan dibekalkan oleh pihak Biotropics.

Jelas beliau lagi, penyelidikan untuk meningkatkan kualiti, piawaian, keberkesanan dan keselamatan produk tempatan perlu diberi keutamaan sebelum dirumuskan satu formula terbaik berteraskan penggunaan produk kesihatan daripada khazanah flora dan fauna untuk meningkatkan prestasi sukan di tahap tertinggi.

Kerjasama yang akan berkuat kuasa selama dua (2) tahun bermula dari tarikh ianya ditandatangani pada 21 November 2016 bakal menguatkan lagi hubungan profesional kedua-dua belah pihak, malah kerjasama yang bakal dijalankan adalah merupakan suatu kerjasama yang penting bagi pertukaran maklumat, pengalaman, pengetahuan dan yang melibatkan kajian penyelidikan terkini.