ISN ANJUR GOTONG ROYONG BANTERAS DENGGI

NormilaBerita

main

BUKIT JALIL, 3 Februari 2017 – Taklimat Operasi Anti Denggi sempena aktiviti gotong-royong peringkat ISN 2017 telah berlangsung di Dewan Komanwel, ISN pagi ini. Taklimat telah disampaikan oleh Dr. Arshad Bin Puji, Pengarah Perubatan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa JK bagi menangani wabak denggi yang semakin menular dan berleluasa.

Tujuan taklimat ini diadakan bagi berkongsi gerak kerja dan langkah-langkah yang diambil oleh pihak pengurusan serta langkah yang serius dan proaktif dalam menanganinya. Untuk makluman, satu jawatankuasa induk basmi denggi diwujudkan berikutan pola jangkitan denggi meningkat secara mendadak berbanding tahun lepas. 

Atas penubuhan jawatankuasa tersebut, pelbagai aktiviti dan cadangan dilaksanakan iaitu wujudnya Klinik Denggi 24 jam untuk menyaring wabak denggi ini dan dikhaskan untuk warga ISN, MSN, atlet dan jurulatih yang tinggal di sekitar Kompleks Sukan Negara, Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekretariat Sukan SEA.

Klinik yang telah beroperasi sejak 1 Februari 2017, memberi perkhidmatan Combo Rapid Test iaitu ujian sensitiviti bagi mengesan demam denggi sekiranya simptom-simptom denggi dikesan pada individu tersebut. Selanjutnya, aktiviti fogging telah dilaksanakan secara besar-besaran di keseluruhan banggunan ISN, MSN dan persekitaran yang berhampiran. Malah, di luar Kompleks Sukan Negara juga bakal melaksanakan kegiatan fogging atas kerjasama ISN, MSN, KKM dan beberapa pihak yang lain.

Aktiviti gotong royong ini akan dijalankan secara berkala agar tempat-tempat potensi pembiakan nyamuk aedes dapat dikenalpasti dan dihapuskan agar persekitaran TIADA AEDES TIADA DENGGI!