Fatihah genggam perak

INCHEON – Pelumba berbasikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa menghadirkan keceriaan apabila menyumbang pingat perak pada hari ketiga Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan semalam.
Pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu menjadi penyumbang kedua pingat buat kontinjen negara setelah pingat emas pertama diraih atlet wusyu, Tai Cheau Xuen kelmarin.
Pemenang pingat emas pada Grand Prix Kedua Asia Tenggara 2013 itu meraih perak dalam acara keirin individu di Velodrome Antarabangsa Incheon.
Pingat emas diraih pelumba dari Hong Kong, Lee Wai Sze manakala pingat gangsa menjadi milik atlet China, Zhong Tianshi.
Fatehah memberitahu, dia sudah berusaha dan memberikan yang terbaik kerana terpaksa bersaing dengan ramai jaguh dunia dalam acara tersebut.
“Ini adalah persembahan terbaik yang mampu saya berikan.
“Kejayaan meraih pingat perak dalam acara keirin sudah memadai kerana saya sedar ramai jaguh utama dunia turut meyertai temasya kali ini,” katanya.
Tambahnya, kejayaan ini diharap dapat menjadi penyuntik semangat buat kem basikal negara untuk meraih pingat emas selepas ini.
“Ini adalah rezeki saya untuk hari ini (semalam). Saya bersyukur dengan apa yang dicapai tambahan pula acara keirin sukar untuk dijangka.
“Saya juga mahu hadiahkan (pingat perak) kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Fatehah, dia cuba memintas Wai Sze pada pusingan terakhir, namun tidak berupaya kerana pelumba itu terlalu pantas.
“Dia sangat laju dan saya tidak berani mengambil risiko dengan memintasnya dari arah atas kerana laluan selekoh terlalu panjang,” ujar pelumba ranking kedua dunia dalam acara keirin itu.
Pada Sukan Asia di Guangzhou, China empat tahun lalu Fatehah meraih tempat keempat dalam acara 500 meter ujian masa manakala tempat keenam dalam acara pecut.
Sumber : Kosmo