BENGKEL FOCUS GROUP: MENANGANI GANGGUAN SEKSUAL DALAM SUKAN

19 – 20 Mac 2019. Sebuah bengkel di bawah projek kajian ISN bertajuk “Constructing the Code of Practice and Policy on the Prevention and Elimination of Sexual Harassment in Sports” telah dijalankan di Hotel Everly, Putrajaya melibatkan tiga puluh lima (35) pakar rujuk dalam bidang sukan, gender dan polisi. Bengkel ini bertujuan untuk mengenalpasti pelaksanaan peraturan daripada sudut organisasi yang berbeza, berkongsi masalah dan cabaran serta mendapatkan cadangan baharu untuk memastikan pelaksanaan peraturan dijalankan dengan baik dan berkesan. Di awal bengkel turut diadakan sesi forum daripada empat (4) penceramah jemputan iaitu Dr. Suhardi bin Alias (Majlis Sukan Negara), Dr. Amran bin Hassan (Jabatan Perkhidmatan Awam), Pn. Nor Aishah binti Samah (Universiti Malaya) dan Puan Betty Yeoh (All Women’s Actions Malaysia). Para ahli panel forum telah berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan kes gangguan seksual serta cabaran yang dihadapi mengikut organisasi yang berbeza. Sesi ini membuka perhatian setiap pakar rujuk untuk meneruskan sesi mengikut kumpulan berpandukan kerangka perbincangan yang telah disediakan oleh pihak penyelidik.

Pakar-pakar rujuk dibahagikan kepada tiga kumpulan terdiri daripada organisasi sukan (Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Pesuruhjaya Sukan, Majlis Sukan Negara), institusi pengajian tinggi (UKM, UM, UiTM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta NGO (All Women’s Action Malaysia, Women’s Aid Organization, Yayasan Chow Kit). Setiap pakar rujuk yang hadir telah berkongsi pelbagai pengalaman dan cabaran berkaitan isu gangguan seksual. Di akhir bengkel, setiap kumpulan membuat pembentangan dan pihak penyelidik berjaya menghasilkan satu deraf penyataan konsensus berdasarkan dapatan setiap kumpulan.

Pasukan penyelidik kajian bertanggungjawab sebagai perunding dan moderator sepanjang sesi bengkel dijalankan dan pasukan ini meneruskan kerja-kerja penyelidikan dengan pembentukan penyataan konsensus, cadangan strategi pelaksanaan serta perancangan dan pengagihan tugas projek. Projek kajian kerjasama ISN dengan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti SEGI dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini merupakan salah satu inisiatif bersama bagi membantu pembentukan dan pelaksanaan peraturan untuk menangani gangguan seksual dalam sukan.

Sesi foto berkumpulan bersama YBhg. KPE ISN, penceramah jemputan, pasukan penyelidik dan semua pakar rujuk jemputan.

Sesi pembentangan oleh wakil kumpulan, Dr. Rohani Abd Rahim, pakar gender dan perundangan daripada UKM.

En. Ahmad Faedzal Md. Ramli mengalu-alukan para jemputan serta menyampaikan harapan dan sokongan terhadap usaha menangani gangguan seksual dalam sukan.

Salah seorang pakar rujuk sedang berkongsi pengalaman dan cadangan (dari kiri: Pn. Nur Diana (ISN), Pn. Noorhaminiyazura (ISN), Datuk Paduka Mumtaz Jaafar (MOM), Pn. Pusenthi (Yayasan Chow Kit) dan YM Dr. Raja Kamariah binti Raja Mohd Khalid (Jabatan Pembangunan Wanita).