Atlet PODIUM Silat Olahraga harungi perlawanan kompetitif di Uzbekistan

NurafikaAtlet & Jurulatih, Berita, Podium

pic

Samarqand – Seramai lima orang atlet Program PODIUM bagi sukan Silat Olahraga yang terpilih berada di Uzbekistan selama 9 hari untuk menjalani kem latihan dan pertandingan bertaraf dunia sejak 9 April lalu.

Mereka terdiri daripada Juara Dunia tiga kali Mohd Al-Jufferi Jamari, Siti Rahmah, Fauzi Khalid, Siti Humairah serta atlet baharu yang diserap masuk ke dalam Program PODIUM iaitu Razak Ghazali dan jurulatih Nasri Nasir.

Misi utama skuad negara ke sana adalah untuk melibatkan diri dalam empat pertandingan bersama pasukan Pencak Silat Kebangsaan Uzbekistan bermula dari 14 hingga 16 Mei 2017.

Uzbekistan telah membuktikan kemampuan melahirkan ramai juara kelas dunia, antaranya Presiden Persekutuan Pencak Silat Uzbekistan, Aziz Djurabayev yang pernah menjadi juara dunia Kick Boxing pada tahun 2001 dan Juara Taekwondo di Kejohanan Taekwondo USSR 1991 sebelum menubuhkan Persatuan Pencak Silat Uzbekistan pada tahun 2009.

Penglibatan Uzbekistan dalam sukan silat bergerak secara agresif dimana sasaran skuad Uzbekistan ketika ini adalah memburu podium pada Sukan Asia Jakarta pada tahun 2018.

Pesilat Uzbekistan juga telah menempa beberapa nama antaranya pada Kejohanan Dunia di Bali, Indonesia tahun lalu dimana pesilat Uzbekistan mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

Penerimaan menggalakkan sukan silat di rantau Asia menyebabkan latihan di Uzbekistan menjadi antara perancangan skuad negara untuk melihat potensi latihan ‘sparring teams’ di beberapa negara-negara Asia menjelang Sukan Asia 2018.

Selain dari atlet-atlet Pencak Silat, turut berada di kem latihan Uzbekistan ini adalah Pengurus Besar Pesaka, Dato’ Osman Nok, Juara SUKMA 2016 dan Juara SEA ke 7 – Mohammad Zaris Hakim (kategori C: 55 – 60kg) dan Ketua Projek Sukan PODIUM, Ravidran Varnagopal.

 

Disediakan oleh :

Ravidran Varnagopal

Bahagian Podium