Nicol Gagal Pertahanan Kejuaraan Dunia, Tewas Kepada Sherbini Pada Suku Akhir

KUALA LUMPUR — Harapan Ratu skuasy negara, Datuk Nicol untuk merangkul kejuaran dunia buat kali kesembilan berkecai apabila tewas kepada pemain nombor dua dunia, Nour El Sherbini dari Mesir, pada perlawanan suku akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia PSA NAZA 2016, hari ini.

Meskipun mendapat sokongan kuat penyokong tuan rumah dan kedua ibu bapanya yang datang dari Pulau Pinang, Nicol gagal untuk menandingi pemain Mesir itu apabila tewas, 14-12, 4-11, 11-3 dan 11-7 dalam perlawanan 47 minit yang berlangsung di Arena Nicol David, Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Untuk rekod, Nicol memenangi kejuaraan dunia sebanyak lapan kali – 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014.

Dengan kemenangan itu, Sherbini yang juga naib juara dunia 2013, mencatat rekod pertemuan mereka kepada 6-4.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Nicol berkata beliau melakukan yang terbaik ketika berdepan Sherbini dalam pertemuan kali ke-10 mereka setakat ini, sambil menambah pemain Mesir itu, mempunyai elemen tersendiri untuk memenangi perlawanan hari ini.

“Ia adalah sesuatu yang sukar, sama sekali mengecewakan apabila tewas dalam perlawanan ini. Jika saya memperoleh (kemenangan) perlawanan pertama, ia mungkin cerita yang berbeza…namun saya hanya membiarkan Sherbini mendapat keyakinannya dalam permainan ketiga dan sepatutnya melakukanya lebih awal.

“Akhirnya, saya cuba untuk kembali, berjuang dan melakukan apa yang terdaya…mengatur beberapa perkara pada masa yang sesuai (tetapi ia tetap sama) …hanya kekecewaan,” kata Nicol.

Pemain nombor lima dunia itu berkata beliau kini akan memberi tumpuan kepada musim penamat, siri final Kejohanan PSA Dunia 2015/2016 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 24-28 Mei sebelum berehat panjang.

Nicol juga berjanji untuk kembali bertenaga pada Kejohanan Dunia akan datang, sambil menegaskan beliau belum bersedia untuk bersara meskipun terdapat pihak yang berpendapat beliau harus berbuat demikian selepas mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan, sejak akhir-akhir ini.

Bagi Sherbini, kemenangan itu sungguh bermakna lebih-lebih lagi dapat menewaskan Nicol di laman sendiri.

Sebelum ini, Sherbini mengalahkan Nicol dalam tiga pertemuan musim ini — ‘Tournament of Champions’ pada Januari, Kejohanan Terbuka Windy City pada Februari dan Terbuka British, bulan lepas.

Gadis berusia 20 tahun, kelahiran Iskandariah, Mesir itu berkata beliau akan memberi tumpuan kepada perlawanan separuh akhir esok, dan bukannya berfikir untuk menjadi rakyat Mesir pertama merangkul kejuaraan dunia.

“Sudah tentu, setiap pemain seboleh-bolehnya mahu memenangi kejohanan ini, tetapi saya akan menuju selangkah demi selangkah,” kata Sherbini yang berhasrat untuk melihat semua pemain Mesir mara ke perlawanan akhir, Sabtu ini.

 

Sumber : BERNAMA