VIRUS ZIKA

Kuala Lumpur: Penularan virus Zika mencetuskan kebimbangan dalam kalangan atlet apabila hingga kini masih belum ada sebarang vaksin yang boleh diambil bagi menghalang penyakit itu.

Bagaimanapun, menurut Pengarah Bahagian Perubatan Sukan ISN Dr Arshad Puji berkata, sebagai langkah berjaga-jaga beberapa pendekatan boleh diambil antaranya berbincang dengan pakar perubatan terutama Institut Sukan Negara (ISN) serta merujuk kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu juga, Arshad berkata, ISN juga akan membekalkan alat penghalau nyamuk kepada atlet terutama penerjun yang akan beraksi di Kejohanan Piala Dunia di Brazil dari 19 hingga 24 Februari ini.

“Hingga setakat ini belum ada suntikan atau vaksin yang boleh mencegah virus Zika ini. Namun, atlet disarankan mendapatkan suntikan pencegahan demam kuning (yellow fever) sebelum masuk ke Brazil. Brazil juga antara negara dengan risiko jangkitan demam kuning.

“Suntikan itu bagaimanapun bukan satu kewajipan, namun sebagai langkah pencegahan.

“Selain itu apa yang boleh dibuat ISN adalah menasihatkan atlet supaya sentiasa merujuk kepada WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan mendapatkan nasihat KKM,” katanya.

Mengulas mengenai atlet terjun yang kini berada di China, Arshad berkata, mereka disarankan mengambil suntikan pencegahan demam kuning itu di negara berkenaan sebelum berlepas ke Brazil.

Terdahulu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam mengeluarkan garis panduan langkah pencegahan virus Zika yang disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes.

Beliau berkata langkah itu termasuk menangguhkan perjalanan ke 26 negara yang dilaporkan dilanda jangkitan Zika, khususnya wanita mengandung.

– Harian Metro