‘ PEMAIN KURANG CERGAS’

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen perlu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah kecergasan pemain yang menghantui kebanyakan pemain badminton negara.

Menurutnya, kebanyakan pemain tidak cukup cergas dan berdepan masalah untuk mengalahkan pemain terbaik dunia dalam mana-mana kejohanan yang disertai.

“Masalah ini membawa kepada aksi kurang konsisten di gelanggang,” katanya.

Kenyataan Frost itu disokong dengan keputusan ujian VO2 Max yang dikendalikan oleh Institut Sukan Negara (ISN) sebelum ini apabila kebanyakan pemain kebangsaan tidak boleh bertahan lama dalam gelanggang.

“Kesimpulannya mudah, mereka tidak begitu cergas. Kami melakukan ujian ini pada pertengahan tahun dan sekali lagi bakal menjalankannya sebelum akhir tahun ini.

“Tahap keupayaan mereka diukur melalui pergerakan asid laktik dalam otot yang menghalang pemain untuk tahan lebih lama. Ini juga menunjukkan latihan mereka tidak mencapai tahap tinggi,” kata Frost.

Ujarnya, pemain yang mahu berada pada tahap 10 terbaik dunia mampu untuk berlatih dengan penuh berkualiti dalam tempoh dua jam setengah.

“Jika seseorang pemain itu hanya mampu bertahan selama 45 minit, jelas sekali mereka tidak mampu pergi lebih jauh,” katanya.

Bagaimanapun, Frost mengakui ada peningkatan sejak ujian pertama dilakukan namun ia masih mengambil masa untuk seseorang pemain pergi lebih jauh.