Peruntukan RM 75 juta mampu lonjakkan Program Podium

Peruntukan sebanyak RM 75 juta untuk Program Podium menerusi Bajet 2016 menunjukkan kerajaan prihatin terhadap keperluan atlet berprestasi tinggi dalam mencapai kecemerlangan pada temasya sukan utama dunia.
Program Podium merupakan program penyediaan atlet terbaik dalam kalangan mereka yang terpilih merangkumi pemakanan, latihan, kemudahan,sains sukan dan kejurulatihan di bawah kelolaan Institusi Sukan Negara (ISN).
Ketua Pegawai Eksekutif ISN,Dato’ Dr.Ramlan Abdul Aziz berkata,peruntukan berkenaan adalah berbaloi untuk membolehkan mereka menyediakan atlet cemerlang merangkumi aspek sains sukan yang menyumbang kepada kejayaan seseorang atlet di pentas sukan antarabangsa.
“Dengan bajet ini,kita berharap ia dapat membantu atlet elit negara untuk mencapai prestasi terbaik mereka pada temasya sukan utama seperti Sukan Olimpik.
“Bajet ini juga akan memastikan masa depan atlet bukan sahaja terjaga ia mampu meningkatkan kemampuan atlet itu sendiri untuk menjadi insan berjaya,” katanya kepada Bernama,di ibu negara semalam.
Selain peruntukan sebanyak RM75 juta untuk Program Podium,Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Razak menerusi pembentangan Bajet 2016 semalam turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM 145 juta untuk persediaan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 serta pembinaan dua buah kompleks sukan baharu bernilai RM 22 juta masing-masing di Bagan Datoh,Perak dan Kuantan,Pahang.
Mengulas lanjut,Dr Ramlan berkata,menerusi peruntukan besar itu, ISN dapat menjalankan latihan saintifik yang lebih komprehensif selain memastikan pengurusan atlet lebih berkesan.
“Ia juga membolehkan atlet memberi tumpuan sepenuhnya dalam menghadapi sesuatu kejohanan termasuk temasya sukan utama seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik,” katanya.
Dalam pada itu,pemimpin persatuan  sukan kebangsaan yang dihubungi semalam yakin bahawa bajet RM 75 juta itu mampu menyuntik semangat para atlet untuk terus mempamerkan aksi cemerlang di pentas antarabangsa.
Bagi Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, peruntukan berkenaan mampu membantu BAM mempersiapkan atletnya menghadapi kejohanan yang lebih besar selepas ini.